Fahaman Allah itu alam ghaib adalah suatu pemikiran yang menyeleweng daripada kebenaran. Kefahaman seperti ini boleh jadi kerana tidak dapat membezakan takrif alam dan makna bagi ghaib. Para ulama menjelaskan bahawa perkara ghaib itu ialah perkara yang tidak dapat dicapai dengan pancaindera.
Kita dituntut untuk beriman dengan perkara ghaib seperti yang difirman oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib."
Berdasarkan kefahaman ini, maka para ulama membahagikan alam itu kepada dua iaitu alam musyahadah dan alam ghaib. Alam musyahadah adalah seluruh makhluk yang dapat dicapai atau dicerap dengan pancaindera seperti manusia, binatang, bumi, matahari dan lain-lain. Manakala alam ghaib pula adalah seluruh makhluk yang tidak dapat dicerap dengan pancaindera iaitu malaikat, jin, ruh dan lain-lain. Allah tidak termasuk alam ghaib kerana Allah bukan makhluk.
Kebatilan aqidah Allah di luar alam
Allah tidak boleh dinisbahkan kepada jisim, tidak boleh dikaitkan dengan sifat-sifat jisim. Segala sifat atau kelaziman bagi sifat jisim tidak boleh dinisbahkan kepada Allah. Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan Allah itu lapar atau kenyang. Allah tidak boleh dikatakan sihat atau sakit.
Demikian juga kita tidak boleh mengatakan Allah bergerak atau diam. Berdasarkan kefahaman ini, maka dapat kita fahami bahawa tidak boleh dinisbahkan di dalam sesuatu atau di luar sesuatu. Kedua-duanya merujuk kepada sifat makhluk. Maka kefahaman Allah di luar alam juga salah dan tidak menepati akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kefahaman ciri Allah
Kesimpulannya, Allah itu tidak boleh dikaitkan dengan alam. Sama ada mengatakan Allah itu alam ghaib atau mengatakan Allah di luar alam, kedua-dua menyalahi akidah sebenar. Kenyataan seperti ini akan bertambah celaru apabila mereka berinteraksi dengan hadis Nuzul. Mereka memahami hadis ini dengan menyatakan Allah turun ke langit dunia pada satu per tiga malam.
Hal seperti ini terjadi kerana mereka berkeras untuk tidak menerima kaedah takwil dan tafsiran ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan Allah tidak turun, tidak bertukar tempat dan tidak berubah-ubah.
Ulama kita menafsirkan turun dalam hadis tersebut dengan makna turun rahmat, turun perintah Allah dan juga turun malaikat suruhan Allah. Tafsiran seperti selamat daripada menyatakan Allah itu masuk ke dalam alam atau menyatu dengan alam.
Disebabkan itu ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah teguh dalam mempertahankan akidah Allah wujud tidak bertempat. Sepertimana Allah wujud tidak bertempat ketika makhluk dan tempat belum ada, maka demikian Allah wujud tidak bertempat setelah makhluk ada. Semoga kita dapat memahami akidah ini dengan baik dan berpegang dengannya sehingga ajal menjemput.
Comments
Post a Comment