Perintah solat bermula secara langsung daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Israk dan Mikraj. Pada mulanya, Allah SWT mewajibkan umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam.
Selepas menerima perintah tersebut, Baginda SAW turun bertemu Nabi Musa AS. Nabi Musa menasihati Baginda untuk kembali memohon keringanan daripada Allah SWT kerana jumlah 50 waktu itu terlalu berat untuk umat Islam. Nabi Muhammad SAW berulang-alik mengadap Allah sebanyak beberapa kali sehingga jumlahnya dikurangkan menjadi 5 waktu sehari semalam, namun ganjarannya tetap menyamai 50 waktu.
NABI BELAJAR SOLAT
Malaikat Jibril A.S. diutuskan oleh Allah SWT untuk mengajar Nabi Muhammad SAW tatacara solat dan menetapkan waktu-waktu solat. Bimbingan ini berlaku sebaik sahaja ibadat solat difardhukan kepada umat Islam secara langsung dalam peristiwa Israk Mikraj.
Untuk tujuan tersebut, Malaikat Jibril telah mengimamkan solat bersama Nabi Muhammad SAW sebanyak dua kali berturut-turut bagi setiap waktu solat. Peristiwa ini menjadi panduan praktikal mengenai waktu permulaan dan akhir bagi solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak.
No comments:
Post a Comment